Saturday, January 30, 2010

Kedai emas dirompak RM300,000 (30/1/10)

Oleh Nahar Tajri
nahar@bharian.com.my
Tiga lelaki bersenjata lepaskan tembakan amaran

YAN: Tiga lelaki bertopeng dan bersenjatakan selaras pump gun melepaskan dua das tembakan ke udara ketika merompak sebuah kedai emas dan melarikan barang kemas bernilai RM300,000 di pekan Guar Chempedak di sini, semalam.

Dalam kejadian pada jam 11.40 pagi itu, dua suspek meluru ke dalam sebuah kedai emas, manakala seorang lagi menunggu di dalam kereta Proton Wira putih.



Selepas kurang lima minit, suspek meluru keluar dan melepaskan dua das tembakan ke udara menyebabkan orang ramai yang berada di situ panik sebelum memasuki kereta yang dipandu rakannya dan melarikan diri ke arah Sungai Yan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd Zakaria Ahmad, berkata dua suspek yang memasuki kedai emas itu memecahkan cermin meja pameran barang kemas dengan tukul besi dan pump gun yang dibawa selepas mengarahkan tiga pekerja kedai itu, seorang lelaki dan dua wanita masuk ke bilik di belakang.

"Setakat ini kita belum mengetahui sama ada kejadian ini sudah dirancang rapi oleh suspek, namun berdasarkan siasatan awal kedai emas berkenaan tiada sebarang ciri keselamatan kerana tidak mempunyai alat penggera, kamera litar tertutup (CCTV) dan pengawal keselamatan bersenjata.

"Difahamkan kedai ini baru dibuka setahun lalu dan kes ini adalah kejadian pertama. Kita juga belum menerima sebarang laporan mengenai kemalangan jiwa berkaitan kes ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan polis berharap orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya melaporkannya ke balai polis berdekatan," katanya.

Sementara itu, pekerja kedai emas, Mohd Hafiz Hakimi, 25, berkata, ketika kejadian, dia bersama dua pekerja wanita berada di kaunter.

"Tiba-tiba saya nampak sebuah kereta Proton Wira putih berhenti di depan kedai. Kemudian dua lelaki keluar sambil memakai topeng dan memasuki kedai ini.

"Seorang daripada mereka meminta kami jangan berbuat apa-apa dan mengarahkan supaya pergi ke belakang kedai, manakala salah seorang dari mereka terus memecahkan cermin.

Friday, January 29, 2010

3 warga Iran seludup dadah RM500,000 diberkas

SHAH ALAM 29 Jan 2010 - Tiga warga Iran ditahan setelah cuba menyeludup 266 biji kapsul dadah dipercayai syabu bernilai RM500,000 melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Isnin lalu.

Lebih memeranjatkan, mereka sanggup menelan semua dadah itu dan juga berjaya melepasi pemeriksaan keselamatan pihak Kastam dan Imigresen di pintu keluar KLIA.

Mereka bagaimanapun ditahan polis di kaunter teksi lapangan terbang itu setelah dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga lelaki yang berusia dalam lingkungan 40-an itu masing-masing menelan 100 biji, 60 biji dan 106 biji kapsul.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, semua kapsul tersebut dipercayai ditelan dalam tempoh lebih daripada 24 jam sebelum mereka ditahan.

Katanya, polis terpaksa mengambil masa selama empat hari untuk mengeluarkan semua kapsul itu daripada tubuh suspek-suspek dengan bantuan pengamal perubatan di Hospital Serdang.

Beliau berkata, berat keseluruhan kapsul-kapsul dadah bersaiz sebesar belimbing buluh itu ialah 1.9 kilogram.

"Suspek-suspek ini tiba ke negara ini dari Dubai, Isnin lalu pada pukul 6 petang dan berjaya melepasi pemeriksaan keselamatan di KLIA.

"Bagaimanapun, setelah mendapati keadaan suspek mencurigakan, mereka dibawa ke hospital untuk menjalani ujian X-ray dan kita mendapati terdapat objek pelik di dalam badan mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Nordin, penahanan tiga suspek berkenaan adalah antara kejayaan pihak keselamatan negara dalam menghalang penyeludupan dadah antarabangsa menggunakan kaedah 'kurier manusia.'

"Selain dadah, kita turut menemui wang tunai RM1,250, 81,000 riyal Iran (RM28) dan AS$785 (RM2,681) bersama-sama mereka," jelasnya.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, dadah itu dihasilkan di sebuah makmal haram di Afghanistan atau Pakistan untuk diseludup masuk bagi pasaran di negara ini.

Malah tambah beliau, siasatan turut merangkumi pihak yang akan ditemui oleh suspek-suspek di Kuala Lumpur untuk menyerahkan kapsul syabu tersebut.

Nordin berkata, ketiga-tiga suspek kini ditahan reman sehingga Isnin depan untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan lain, Nordin memberitahu Jabatan Narkotik Selangor telah mencatatkan 14,096 kes tangkapan dan seramai 18,077 orang ditahan atas kesalahan dadah sepanjang tahun lalu.

Beliau berkata, jumlah tersebut meningkat berbanding pada 2008 iaitu 11,907 kes tangkapan dengan 15,084 orang yang ditahan.

"Tahun lalu juga menyaksikan sebanyak 502.25 kilogram dadah dirampas berbanding rampasan pada tahun sebelumnya 23.52 kilogram.

"Jenis dadah yang paling banyak dirampas ialah ganja. Kesemua dadah yang dirampas pada tahun lalu bernilai sebanyak RM20 juta," ujarnya.

Thursday, January 28, 2010

Tiga lelaki mengamuk

Oleh SITTI NOR AZIZAH TALATA,
OPAT RATTANACHOT
dan ZAINAL AZHAR MOHAMED
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 28 Jan 2010 – Tiga kejadian amuk, satu daripadanya mengakibatkan kematian dilaporkan berlaku di Sabah, Kedah dan ibu negara dalam tempoh tidak sampai 24 jam sejak semalam.

Dalam kejadian yang berlaku di Sandakan, Sabah, seorang lelaki mengamuk dan membunuh seorang rakannya, selain mencederakan lima yang lain.

Kejadian berlaku di Ladang Suan Lamba dekat Sandakan petang semalam, dipercayai berpunca daripada perbuatan mengejek.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Rosli Mohd. Isa berkata, suspek yang berusia 29 tahun dikatakan telah diejek oleh rakan-rakannya sebelum dia mengamuk dan menyerang mangsa.

“Suspek dipercayai menyerang beberapa orang pekerja di ladang itu menggunakan sebilah parang. Salah seorang daripada mereka maut selepas dikelar pada leher,” katanya sambil menambah, suspek ditahan polis tidak lama selepas kejadian.

Di Sik, Kedah pula, seorang suami bertindak membakar rumahnya sendiri serta lima buah kereta dan dua motosikal jirannya selepas dikatakan mengalami tekanan emosi.

Dalam kejadian yang berlaku di Kampung Hujung Bandar, lelaki berusia 60 tahun tersebut turut mengamuk dengan menggunakan parang selain cuba mencederakan dua orang anak perempuannya.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa berlaku kerana semasa kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, isterinya, Khatijah Shaari, 56, dan anak-anak pasangan itu sempat melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Supritendan Zaidong Mustafa berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut dan menahan suspek kira-kira pukul 4.30 pagi.

“Suspek diserahkan kepada Hospital Sik sebelum dirujuk kepada Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk pemeriksaan,” katanya.

Sementara itu, di Kuala Lumpur, seorang lelaki yang dipercayai berada dalam keadaan mabuk bertindak di luar kawalan dengan memecahkan cermin 11 buah kenderaan yang diletakkan di Jalan Medan 30, Taman Medan di sini petang ini.

Dalam kejadian pukul 3 petang itu, sembilan buah kereta, sebuah lori dan van dirosakkan lelaki terbabit.

Difahamkan, suspek datang ke rumah saudaranya yang terletak di taman itu sebelum keluar dengan memegang dua bilah parang.

Dia kemudian berjalan kaki hampir 100 meter sambil memecahkan semua kenderaan penduduk yang diletakkan di hadapan rumah mereka.

Keadaan menjadi terkawal apabila polis datang dan menahan lelaki itu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.

Tuesday, January 26, 2010

Buruh warga Indonesia maut leher disembelih (26/1/10)

Oleh Hardi Effendi Yaacob
hardi@bharian.com.my
SUNGAI BULOH: Dendam dan masalah puak dipercayai punca seorang buruh warga Indonesia dibunuh secara kejam, dengan keadaan lehernya hampir putus disembelih menggunakan senjata tajam di sini semalam.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, Mohd Said Ali, 34, yang berasal dari Jawa Timur ditemui mati dalam kawasan semak berhampiran pintu masuk ke tapak projek kuarters guru di Bandar Sri Damansara yang juga tempat kerja mangsa.

Mayat mangsa ditemui adiknya sendiri, Tamaji Ali, 31, ketika dalam perjalanan pulang ke rumah kongsi projek pembinaan itu selepas keluar mengambil pasport dan permit kerja daripada seorang rakan sejak tengah malam kelmarin.



Tamaji berkata, beliau mengesyaki sesuatu apabila mendapati kesan darah yang banyak di sepanjang laluan masuk ke tapak projek itu.

“Saya curiga sebab belum pernah melihat darah sebanyak itu. Lagipun, ada kesan seperti heretan terus ke kawasan semak berhampiran. Saya fikir mustahil ini darah bintang sebab tidak melihat apa-apa bangkai (binatang) pun di kawasan sekitar.

“Bagi mendapatkan kepastian, saya mengikut kesan darah itu hingga kawasan semak berkenaan. Saya terkejut bila melihat abang saya terbaring dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah, dengan lehernya hampir putus,” katanya di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata polis memburu rakan sekerja mangsa yang melarikan diri dari tapak projek sebaik pembunuhan berlaku.

“Pemeriksaan kita menemui sejumlah dokumen, termasuk pasport milik pekerja terbabit di rumah kongsi mereka. Kita percaya mereka tidak sempat membawa bersama dokumen ini ketika melarikan diri pagi tadi.

“Usaha memburu mereka sedang dibuat berdasarkan dokumen ditemui. Kita percaya mereka bersembunyi di kawasan berhampiran. Mereka dipercayai mempunyai banyak maklumat bagi membantu siasatan kes ini,” katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dengan segala kemungkinan diambil kira, termasuk masalah peribadi dan sengketa puak membabitkan penghuni rumah kongsi terbabit dari masyarakat Jawa dan Madura.

Edar dadah guna kotak limau

KUALA LUMPUR 26 Jan 2010 - Taktik licik tiga pengedar dadah menggunakan kotak limau Mandarin untuk mengedarkan 'bekalan' kepada pembeli terbongkar apabila polis menahan mereka di hadapan sebuah restoran di ibu negara Jumaat lalu.

Ketua Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang berkata, ketika ditahan pada pukul 2.30 petang, mereka yang berusia 31 hingga 41 tahun membawa sekotak limau bertulis 'Jing Xuan Mandarin'.

Namun, katanya, hasil pemeriksaan mendapati kotak tersebut mengandungi lima bungkusan lutsinar yang dipercayai dadah jenis heroin.

"Kesemua dadah itu seberat 2.3 kilogram dan bernilai kira-kira RM225,000. Sebuah kereta jenis Perodua Kancil dan Naza Citra serta wang tunai RM1,154 milik suspek turut dirampas.

"Kita percaya suspek-suspek lelaki itu sedang menunggu orang tengah untuk mengedar bekalan dadah itu kepada pembeli," katanya pada sidang akhbar di sini.

Menurut Chez Chiang, sekali pandang, kelihatan kesemua suspek seperti hendak memberi hadiah limau kepada seseorang.

Beliau yakin sindiket itu mengambil kesempatan perayaan Tahun Baru Cina ini untuk mengaburi mata polis.

Mengulas lanjut, Chez Chiang berkata, sekiranya dadah itu diproses untuk dipaketkan, ia boleh menghasilkan sehingga 22,500 tiub kecil yang dijual dengan harga RM10 setiap satu tiub.

Pemeriksaan ujian air kencing mendapati dua daripada suspek positif mengambil dadah.

"Kedua-duanya mempunyai rekod jenayah lampau kesalahan menyebabkan kecederaan kepada orang awam," katanya.

Kesemua mereka yang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 itu ditahan reman selama enam hari.

Monday, January 25, 2010

Tukang gunting warga Hong Kong dipenjara 5 tahun miliki dadah (26/1/10)

SHAH ALAM: Seorang tukang gunting warga Hong Kong dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini selepas mengaku bersalah memiliki dadah ketamin seberat 1,067 gram, lima tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Tsui Chi Wa Joey, 46, dikira selesai menjalani hukuman penjara itu selepas Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Asmabi Mohamad memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap, 18 Februari 2005.

Tsui mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan memiliki dadah berbahaya itu di Bangunan Satelit Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang jam 7.50 malam, 18 Februari 2005.



Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh sebelum ini didakwa atas tuduhan mengedar dadah mengikut Seksyen 39B (1)(a) ADB yang boleh dihukum gantung sampai mati di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Asmabi berkata, beliau menjatuhkan hukuman itu selepas mengambil kira faktor pengakuan tertuduh yang menjimatkan masa perbicaraan dan tertuduh tidak mempunyai kesalahan lampau.

Beliau berkata, walaupun Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhairy Zakaria, meminta mahkamah supaya menjatuhkan hukuman penjara dan denda ke atas Tsui sebagai peringatan kepada yang lain, beliau perlu mengambil kira Tsui sudah lama berada di dalam tahanan sejak 2005.

Terdahulu, Mohd Suhairy berkata, hukuman berat perlu dikenakan ke atas Tsui sebagai amaran dan juga menjaga kepentingan awam memandangkan peningkatan aktiviti menyeludup masuk dadah melalui KLIA yang semakin berleluasa.

Salah seorang peguambela Tsui, W P Leong memberitahu pemberita di luar mahkamah, secara teknikalnya anak guamnya dibebaskan kerana hukuman dijatuhkan bermula daripada tarikh beliau ditangkap dan mengambil kira kelakuan baik tertuduh di penjara.

Bagaimanapun, beliau berkata, anak guamnya ditahan buat sementara waktu bagi menguruskan pasport yang telah tamat tempoh sebelum dihantar pulang ke negara asal. - Bernama

Penganggur dipenjara, denda bawa mercun ke stadium (26/1/10)

KOTA BHARU: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara selama tiga bulan dan denda RM2,000 terhadap seorang penganggur kerana memiliki mercun sewaktu menyaksikan perlawanan bola sepak Liga Super membabitkan Kelantan dan Johor FC di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV di sini, Sabtu lalu.

Majistret Nik Habri Muhamad juga memerintahkan Mohd Zafizie Mohd Zawawi, 29, dipenjara sebulan lagi jika gagal membayar denda tersebut.

Sewaktu menjatuhkan hukuman, Nik Habri berkata tindakan Mohd Zafizie membawa mercun ke dalam stadium adalah suatu tindakan yang serius kerana boleh mengancam nyawa penonton dan juga boleh menyebabkan rusuhan.



"Ini satu perbuatan serius kerana stadium adalah tempat untuk bersukan dan bergembira dan bukannya tempat untuk melakukan keganasan.

"Hukuman yang saya jatuhkan ini boleh menjadi pengajaran kepada semua pihak dan setelah mahkamah mendengar rayuan kamu, kepentingan awam mengatasi segalanya," katanya.

Tertuduh, dari Masjid Kampung Pauh, Panji di sini, didakwa memiliki lima butir mercun bola di lorong pintu masuk J stadium itu oleh anggota polis yang menahannya pada jam 9 malam.

Ketika diperiksa, semua mercun yang dibungkus dalam kertas putih, ditemui dalam poket seluarnya.

Tertuduh yang dihadapkan ke mahkamah semalam, dalam rayuannya pada prosiding hari ini, meminta hukuman diringankan dan telah insaf atas kesalahan tersebut.

"Ini kesalahan pertama saya dan saya mohon diringankan hukuman kerana tidak akan melakukan lagi perbuatan ini dan juga saya tidak bekerja," katanya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh bulan dan denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan kes itu dijalankan Pegawai Pendakwa ASP Mohd Riduan Phang Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Semalam, selain Mohd Zafizie, seorang lagi tertuduh, juvana berumur 17 tahun, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret berasingan kerana memiliki dua butir mercun di stadium itu dan mahkamah menetapkan 10 Mac depan sebagai tarikh menjatuhkan hukuman. - Bernama

Thursday, January 21, 2010

Pengedar dadah ditahan di Gemas

JEMPOL 21 Jan 2010 - Sejak beberapa bulan lalu, seorang pemuda berusia 29 tahun 'berlagak' seperti orang berada di Kampung Baru Pasir Besar, Gemas dekat sini.

Kelibatnya nyata mencurigakan penduduk sekitar yang berasa sangsi tentang sumber pendapatan lelaki itu berikutan dia tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Bagaimanapun, semua teka teki itu terjawab apabila dia diberkas polis di kampung berkenaan dalam satu operasi pada pukul 6 petang kelmarin, yang membawa penemuan beberapa paket dadah jenis heroin.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Sabri Muhammad berkata, hasil pemeriksaan terhadap suspek, polis menemui enam paket plastik lutsinar dan 24 tiub straw dipercayai mengandungi dadah jenis heroin.

"Dalam operasi kira-kira pukul 6 petang, suspek diberkas ketika menunggang motosikal oleh anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis (IPD) Jempol dengan dibantu oleh anggota Balai Polis Rompin.

"Polis kemudian melakukan serbuan di rumahnya di Felda Palong 6, Gemas dan menemui 17 plastik lutsinar dipercayai mengandungi dadah sama," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Mohd. Sabri, siasatan polis mendapati suspek pernah ditahan sebelum ini dan mempunyai rekod jenayah lampau.

"Polis sedang menyiasat daripada mana dia (suspek) mendapat bekalan dadah, sebelum ia diedarkan kepada penagih di kawasan tersebut," ujarnya.

Tiga suspek samun ditahan

Roslan Zainuddin (kanan) bersama timbalannya, DSP Saifi Abdul Hamid menunjukkan barang kes samun dan curi motor pada sidang akhbar di IPD Seri Alam, Johor Bahru, kelmarin.

--------------------------------------------------------------------------------



JOHOR BAHRU 21 Jan. - Tiga lelaki yang dikehendaki kerana dipercayai terlibat dalam beberapa kegiatan samun dan pecah rumah di Iskandar Malaysia dan Bandar Seri Alam, berjaya ditahan di sini, Sabtu lalu.

Pelbagai barangan curi yang kesemuanya bernilai RM150,000 dirampas. Turut dirampas tujuh paket dadah jenis syabu dan 12 biji pil Eramin 5.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Roslan Zainuddin berkata, serbuan dilakukan pada pukul 8.20 malam di sebuah hotel di Kampung Majidee oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam hasil daripada maklumat orang awam.

Beliau berkata, kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 30 hingga 40-an itu ditahan ketika berada di lobi hotel berkenaan.

"Polis membuat pemeriksaan di bilik yang disewa mereka dan menemui pelbagai barangan seperti 11 keping kad kredit, enam keping kad mesin juruwang automatik (ATM), sembilan buah telefon bimbit pelbagai jenama, tujuh utas jam tangan pelbagai jenama dan satu set permainan play station.

"Turut dirampas empat buah komputer riba, wang tunai RM1,000, dua keping cek, sebuah beg tangan wanita, sebuah buku akaun bank, 18 keping kad sim, dua buah kamera digital," katanya pada sidang akhbar di IPD Seri Alam di sini semalam.

Tambah Roslan, dalam serbuan tersebut, polis juga merampas tiga buah kenderaan dengan dua daripadanya bernombor pendaftaran negara jiran manakala sebuah lagi dilaporkan hilang pada Oktober lalu.

Katanya, selain itu, sebuah pemain cakera padat digital (DVD), serangkai kunci dan sebuah beg hitam mengandungi perkakasan pecah rumah.

"Dua kenderaan bernombor pendaftaran negara jiran itu didaftarkan untuk dilupuskan di negara itu," ujar beliau.

Katanya, ketiga-tiga suspek direman selama lima hari sehingga esok bagi membantu siasatan.

Polis Pulau Pinang bongkar makmal syabu (21/1/10)

GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang berjaya membongkar sebuah makmal memproses dadah dan merampas pelbagai jenis dadah sintatik dipercayai bernilai RM145,000 selepas menyerbu sebuah rumah pangsa di Jalan Ayer Itam di sini Selasa lalu.

Polis turut menahan seorang wanita rakyat China berusia lingkungan 20-an yang sedang memproses dadah dalam sebuah bilik rumah sewa berkenaan, serta dua lelaki berusia 30-an masing-masing di kawasan perumahan itu dan di Jalan Jelutong di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Supt S Batumalai, berkata serbuan pada jam 9.30 malam itu dibuat hasil intipan polis selama dua minggu.



"Makmal yang telah beroperasi sejak enam bulan lalu di rumah itu menjalankan aktiviti memproses dadah jenis Syabu dan Pil Yaba untuk diedar di sekitar negeri ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, antara dadah yang dirampas ialah ketamin, syabu, heroin dan ecstacy, dipercayai bernilai lebih RM20,000 serta pelbagai peralatan yang diguna untuk memproses dadah sintatik itu.

"Kami turut merampas 16 botol precussor iaitu sejenis cecair kimia yang dipercayai mampu menghasilkan 500 gram syabu bernilai RM125,000," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati wanita rakyat China itu memasuki negara ini secara sah sejak tahun 2008 dan pernah bekerja sebagai pelayan sebuah kafe di sini, manakala kedua-dua lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah.

"Polis kini mengesan seorang lagi lelaki dipercayai anggota sindiket berkenaan bagi membantu siasatan," katanya. - Bernama

KLIA transit dadah

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 21 Jan 2010 - Kegiatan penyeludupan dadah menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai transit kini di tahap menakutkan.

Mendedahkan demikian, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Mohamed Khalid Yusuf berkata, ini berikutan peningkatan nilai rampasan dadah di lapangan terbang itu begitu mendadak sebanyak RM62 juta tahun lalu berbanding RM17.6 juta pada 2008.

Serentak itu, tegas beliau, kastam terus memperhebatkan penguatkuasaannya memerangi penyeludupan dadah di KLIA.

Ini termasuk menugaskan para pegawainya memantau pesawat-pesawat antarabangsa dan warganegara tertentu yang dikenal pasti terlibat secara langsung dalam kegiatan tersebut.

"Daripada kebanyakan ketamin yang dirampas, pihak kastam mengesan rata-rata individu terlibat memegang pasport yang tertera mereka dari Trichy, sebuah kampung di Chennai, India. Demikian juga warganegara dari Asia Barat.

"Dadah itu antaranya diletakkan dalam tin berisi kunyit yang di bawahnya terdapat satu lapisan tersembunyi.

"Pelbagai modus operandi penyeludupan dadah ini antaranya kita dapati tin kunyit itu masih tertera nama pasar raya dari kawasan yang sama malahan individu terlibat juga memakai jenis kasut serupa berwarna hitam," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Ibrahim Jaapar bersama media di Ibu Pejabat Kastam di sini hari ini.

Mohamed Khalid berkata, pihaknya juga mendapat kerjasama daripada Pihak Pentadbir Kastam ASEAN termasuk baru-baru ini dari Hong Kong yang menyalurkan maklumat mengenai individu yang terlepas daripada pemeriksaan di sana dengan laluannya menuju KLIA.

"Kastam sentiasa melihat trend modus operandi yang sering berubah ini antaranya dadah diseludup menerusi televisyen hitam putih dan CPU komputer," katanya.

Terdahulu, Ibrahim dalam ucapan alu-aluannya berkata, kastam memperoleh RM25.9 bilion hasil pungutan tahun lalu.

Kata beliau, 62.1 peratus daripada pungutan itu diperoleh daripada cukai dalam negara meliputi cukai eksais, jualan dan perkhidmatan manakala 30 peratus lagi hasil cukai import dan eksport.

"Tugas kastam begitu meluas, kita tidak semata-mata pungut cukai dan terlibat dalam aspek pencegahan.

"Malah, kita terlibat sebagai penasihat dan perunding para pelabur dalam menyalurkan prosedur kastam yang perlu mereka patuhi," katanya.

Wednesday, January 20, 2010

3 rakan ditahan edar dadah

KUALA LUMPUR 20 Jan 2010 - Tindakan tiga sahabat menjadikan sebuah rumah tumpangan di Jalan Petaling di sini sebagai lokasi mengedar dadah terbongkar apabila polis menyerbu premis itu, kelmarin.

Kesemua mereka yang berusia 37 hingga 49 tahun itu direman sehingga 25 Januari depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang berkata, berdasarkan maklumat awam, polis menyerbu premis tersebut kira-kira pukul 9.40 malam dan menahan tiga lelaki.

Menurut beliau, polis turut merampas 31 bungkusan dan 28 tiub serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin serta lima tiub dadah disyaki syabu.

"Berdasarkan siasatan, kita mendapati rumah tumpangan itu dijadikan sebagai lokasi untuk mengedar dadah sejak dua bulan yang lalu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kesemua suspek, katanya, mempunyai empat hingga sembilan rekod jenayah termasuk dadah.

Pemeriksaan ujian air kencing juga katanya, mendapati kesemua mereka positif dadah.

Chez Chiang berkata, bekalan tersebut dipercayai untuk edaran tempatan.

Kilang dirompak rugi RM100,000

SHAH ALAM 20 Jan 2010 - Sebuah kilang menghasilkan barangan elektronik di Telok Panglima Garang dekat sini kerugian kira-kira RM100,000 apabila lapan botol bahan kimia dan empat unit komputer riba dilarikan tiga penjenayah awal pagi kelmarin.

Bahan kimia yang mengandungi 'sianida gold' itu lazimnya digunakan untuk menyaring emas dan perak dalam industri penghasilan produk elektronik.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supritendan Mohamad Radzi Ishak berkata, suspek dikatakan memecah masuk kilang itu kira-kira pukul 3 pagi sebelum mengikat dua pengawal keselamatan yang berada dalam pondok pengawal.

"Mereka yang bersenjatakan parang kemudian menggeledah pejabat pentadbiran kilang serta merosakkan CCTV (kamera litar tertutup) bagi mengelak wajah mereka dirakam.

"Mereka juga turut mencederakan seorang pekerja di kepala sebelum melarikan botol-botol bahan kimia dan beberapa barangan lain," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut Mohamad Radzi, polis tidak menolak kejadian itu didalangi oleh orang dalam kerana hanya orang tertentu sahaja tahu mengenai nilai dan kegunaan bahan kimia tersebut.

Berikutan itu, polis melancarkan gerakan memburu kesemua suspek dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Dadah: 2 penoreh getah ditahan

Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
utusankedah@utusan.com.my



Abdul Aziz Ahmad (tengah) menunjukkan ganja yang dirampas daripada dua penoreh getah di Kampung Kubur Panjang, Pendang, kelmarin. - utusan/Halim Khalid

--------------------------------------------------------------------------------



PENDANG 20 Jan. - Polis menahan dua penoreh getah dan merampas dua peket dadah jenis heroin dan syabu di sebuah kebun getah di Kampung Kubur Panjang di sini malam semalam.

Penahanan kedua-dua lelaki itu kemudian membawa kepada rampasan sebuah kotak plastik yang mengandungi ganja seberat 627 gram, sebotol tin berisi tujuh straw serbuk heroin dan tiga peket heroin seberat 26.5 gram yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM3,700.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Supritendan Abdul Aziz Ahmad memberitahu, kedua-dua lelaki berusia 44 dan 37 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis yang diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang, Inspektor Mohd. Nazri Nordin kira-kira pukul 8 malam.

Menurut beliau, mereka ditahan di dalam sebuah kereta jenis Proton Iswara, dipercayai sedang menunggu pelanggan di dalam kebun getah tersebut.

Beliau berkata, sebuah lori lama yang diubah suai dalam kebun getah itu dipercayai menjadi pusat bagi para penagih dadah di kawasan itu melepaskan gian.

"Polis berjaya membongkar kegiatan kedua-dua lelaki tersebut hasil siasatan yang dijalankan sejak beberapa hari lalu," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.

Abdul Aziz memberitahu, hasil pemeriksaan ke atas salah seorang lelaki dipercayai pemandu kereta berkenaan, pihaknya menemui dua peket heroin dan syabu yang disorok dalam beg pinggangnya.

Katanya, ini membawa kepada pemeriksaan di dalam kereta yang menemui sebuah kotak plastik berisi daun-daun kering dipercayai ganja seberat 627 gram di belakang tempat duduk pemandu.

"Kita turut merampas wang tunai RM150 dipercayai hasil jualan dadah," katanya.

Abdul Aziz memberitahu, kedua-dua lelaki terbabit disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Mereka turut disiasat di bawah Seksyen 39A dan Seksyen 12 (2) akta yang sama.

Lelaki tua mati ditetak

IPOH 20 Jan 2010 - Seorang warga emas yang lumpuh sebelah badan ditemui mati dengan kesan kecederaan di kepala, tangan dan tengkuk, dipercayai ditetak dengan benda tajam di Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan II di sini hari ini.

Polis yang menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam, menemui mayat S. Kanavathy, 53, dalam keadaan duduk dan berlumuran darah.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, mangsa dipercayai dibunuh semalam dan mayatnya dijumpai orang awam pukul 2 petang.

"Polis percaya mangsa mati akibat ditetak dengan objek tajam tetapi kita tidak menemui sebarang senjata.

"Mangsa tinggal seorang diri di bekas sebuah tokong Cina. Mayat mangsa yang cedera parah ditemui dalam keadaan duduk di atas kerusi malas dengan kepalanya tertunduk.

"Polis masih menyiasat punca kejadian dan tiada tangkapan dibuat setakat ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, abang mangsa, S. Shannumugam, 60 ketika ditemui berkata, adik lelakinya itu yang sudah berpisah dengan isterinya mempunyai lima orang anak dan baru sebulan tinggal di tokong tinggal tersebut.

Ujarnya, mangsa tidak bekerja dan lumpuh sebelah kiri badan selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya 15 tahun lalu.

"Dia tidak boleh berjalan selepas kemalangan itu dan hanya mampu mengengsot.

"Kali terakhir saya jumpa dia, minggu lepas apabila dia datang ke rumah untuk meminjam duit sebanyak RM100. Duit itu dia nak gunakan untuk rawatan sakit belakang," katanya.

Tuesday, January 19, 2010

Pemandu disamun

KUALA LUMPUR 19 Jan 2010 - Seorang wanita yang memandu van sekolah kerugian ribuan ringgit apabila barang kemasnya disamun empat lelaki bersenjatakan parang di Taman Bukit Teratai, Ampang di sini hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 2.30 petang, ketika mangsa yang berusia lingkungan 30-an sedang menunggu pelajar di hadapan sebuah sekolah di kawasan tersebut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supritendan Amiruddin Jamaluddin berkata, dia diodatangi empat lelaki sebelum salah seorang daripada suspek bertindak mengugut mangsa sambil mengacukan parang sementara seorang lagi meminta mangsa untuk menyerahkan rantai dan gelang yang dipakainya.

Menurutnya, bimbang dicederakan, mangsa terpaksa membiarkan barangan kemasnya itu dilarikan.

Tidak cukup dengan itu, katanya, suspek turut melarikan kunci van jenis Perodua Rusa milik mangsa.

Bagaimanapun, mangsa tidak mengalami kecederaan.

Monday, January 18, 2010

Tiga ditahan proses dadah

NASIONAL
Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
mohdiskandar@bharian.com.my








KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga lelaki yang menjadikan rumah sewa mereka bagi menjalankan operasi memproses dadah jenis ganja dan heroin untuk pasaran sekitar ibu kota, dalam satu serbuan di Pangsapuri Vista Angkasa, Jalan Kerinchi, di sini, Sabtu lalu.

Dalam serbuan kira-kira jam 8.30 malam itu, polis turut merampas lebih dua kilogram dadah dipercayai ganja bernilai kira-kira RM4,000 dan beberapa peralatan yang digunakan untuk membungkus bahan haram terbabit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Azri Abdul Rahman, berkata semua suspek berusia antara 35 tahun dan 38 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, hasil maklumat orang awam.

Beliau berkata, tiga lelaki itu masing-masing bekerja sebagai pemandu, pembantu kantin dan penghantar surat.

“Hasil serbuan itu, polis menemui dua ketulan mampat daun kering dipercayai ganja seberat 1.9 kilogram tersembunyi di dalam almari di sebuah bilik rumah terbabit. Polis turut menemui sembilan peket plastik kecil berisi ganja dengan berat 100 gram setiap satu, peralatan menghisap dan papan pemotong yang digunakan untuk memotong ganja sebelum dibungkus.

“Ujian air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif mengambil ganja dan seorang daripada mereka turut mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah. Mereka semua ditahan reman selama enam hari sehingga Jumaat ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam operasi berasingan, polis menahan seorang buruh berusia 41 tahun kerana disyaki mengedar dadah di Jalan Berhala, dekat sini, semalam.

Azri berkata, sepasukan polis yang menjalankan Ops Tapis/Ops Utama Perdana cuba menahan suspek selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Suspek cuba melarikan diri sebaik polis cuba menghampirinya dan dilihat membuang sesuatu di atas jalan. Polis berjaya menahan suspek dan merampas satu peket plastik berisi dadah dipercayai heroin seberat 3.4 gram dalam kocek seluarnya,” katanya.

Katanya, polis juga berjaya menemui semula beg plastik yang dibuang suspek, yang mengandungi 20 paket heroin seberat 70 gram.

“Semua heroin yang dirampas dianggarkan bernilai RM2,500 dengan setiap peket dijual pada harga RM90 di pasaran. Suspek yang juga penagih dadah ditahan reman selama seminggu untuk siasatan lanjut,” katanya.

Lelaki sorok heroin RM200,000

IPOH: Polis Perak memberkas seorang lelaki dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah di kawasan utara negeri itu dan merampas heroin seberat 2.7 kilogram (kg) bernilai RM200,000 daripadanya berhampiran Simpang Empat, Parit Buntar, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Zakaria Yusof, berkata tangkapan dibuat pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) pada kira-kira jam 2.15 petang, hasil maklumat orang awam dan intipan ke atas lokasi yang dipercayai menjadi tempat urusan jual beli dadah oleh suspek.

Katanya, suspek berusia 43 tahun yang berasal dari Pulau Pinang diberkas selepas polis menahan kereta Toyota Vios yang dipandunya berseorangan dan dilihat dalam keadaan mencurigakan.



“Apabila diperiksa, polis menemui enam paket plastik lut sinar berisi serbuk berwarna perang disyaki dadah jenis heroin di tempat duduk belakang kereta itu.

“Suspek ditahan di lokasi kejadian dan disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, semalam.

Zakaria berkata, suspek direman tujuh hari sehingga 24 Januari ini bagi membantu siasatan terutama mengesan ahli lain dipercayai turut terbabit dalam kegiatan sindiket pengedaran dadah di sekitar Parit Buntar, Kerian dan Pengkalan Hulu.

Bungkus dadah di rumah sewa

KUALA LUMPUR 18 Jan 2010 - Tiga lelaki ditahan setelah didapati menjadikan rumah sewa mereka di Pangsapuri Vista Angkasa, Jalan Kerinchi di sini sebagai pusat membungkus dan mengedar dadah.

Ketiga-tiga suspek berusia antara 35 dan 38 tahun itu ditahan dalam serbuan sepasukan polis dari Bahagian Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields pada pukul 8.30 malam, kelmarin.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas lebih dua kilogram dadah dipercayai ganja bernilai kira-kira RM4,000 serta beberapa peralatan untuk membungkus.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Supritendan Azri Abdul Rahman berkata, suspek yang ditahan masing-masing bekerja sebagai pemandu, pembantu kantin dan penghantar surat.

"Polis yang mendapat maklumat daripada orang awam telah membuat serbuan dan menemui dua ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 1,940 gram disembunyikan dalam sebuah almari di rumah tersebut.

"Turut ditemui sembilan paket plastik kecil berisi ganja dengan berat 100 gram setiap satu, peralatan menghisap dan papan pemotong untuk membungkus ganja," katanya pada sidang akhbar di IPD Brickfields di sini hari ini.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek positif ujian air kencing manakala seorang daripada mereka turut mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

Katanya, kesemua suspek ditahan reman selama enam hari sehingga Jumaat ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Dalam satu lagi operasi, kata Azri, seorang buruh berusia 41 tahun ditahan kerana disyaki mengedar ganja di Jalan Berhala pada pukul 2 petang, semalam.

"Polis yang menjalankan Ops Tapis Perdana telah menahan suspek untuk pemeriksaan setelah melihat dia dalam keadaan mencurigakan.

"Sebelum itu, suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditahan. Dia turut dilihat membuang beg plastik di atas jalan," katanya.

Beliau berkata, polis yang memeriksa suspek menemui satu paket plastik dadah dipercayai heroin seberat 3.4 gram dalam poket seluarnya.

Katanya, pemeriksaan ke atas beg plastik yang dibuang pula menemui 20 paket heroin seberat 70 gram.

Tambahnya, kesemua heroin yang dirampas dianggarkan bernilai kira-kira RM2,500 dengan setiap paket dijual pada harga RM90 di pasaran.

"Suspek yang juga penagih dadah ditahan reman selama seminggu untuk siasatan lanjut," katanya.

Gangsterisme: Polis KL kenal pasti 'sekolah panas'

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Polis Kuala Lumpur sedang mengenal pasti 'sekolah-sekolah panas' di ibu negara untuk diberi tumpuan dalam usaha menangani masalah gangsterisme di kalangan pelajar yang semakin serius sejak kebelakangan ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, antara lain, usaha itu adalah bagi melengkapkan pengetahuan pelajar mengenai keseriusan jenayah serta impaknya kepada masyarakat.

Beliau berkata, pihaknya kini dalam proses mengenal pasti sekolah-sekolah bermasalah itu dan menjangkakan ia dapat direalisasikan tidak lama lagi.

"Daripada pemantauan, kita dapati kebanyakan sekolah bermasalah adalah terdiri dari sekolah-sekolah menengah. Bagaimanapun, ini tidak bermakna sekolah rendah tidak terlibat dalam masalah itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan watikah pelantikan pengawas kepada 89 pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) di sini hari ini.

Pelaksanaan 'sekolah panas' tersebut, kata Muhammad Sabtu, menjadikan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur sebagai IPK yang pertama memperkenalkan program seumpama itu.

"Kita akan mengadakan lawatan dan taklimat di sekolah-sekolah yang dipilih itu. Ia adalah bagi mendekatkan pelajar-pelajar yang dikenal pasti bermasalah itu dengan polis," jelasnya.

Ditanya mengenai perkembangan serangan sebuah kuil Sikh di Sentul, beliau berkata, polis mengklasifikasikan serangan itu sebagai masalah vandalisme dan tiada kaitan dengan isu gereja.

Sunday, January 17, 2010

Tiga buruh binaan dibelasah 10 lelaki di hadapan hotel

KUANTAN: Tiga buruh binaan dari Cheras, Kuala Lumpur cedera selepas dibelasah kira-kira 10 lelaki di hadapan sebuah hotel yang diduduki mereka di Jalan Wong Ah Jang di sini.

Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri, berkata kejadian kira-kira 12.30 tengah malam Jumaat lalu bermula apabila ketiga-tiga buruh yang berusia dari 31 hingga 41 tahun itu didatangi dua lelaki yang tidak dikenali bersenjatakan pisau dan kayu di bilik hotel kononnya untuk menyelesaikan masalah dengan salah seorang daripada mangsa.

Beliau berkata, dua lelaki terbabit kemudian meminta wang daripada lelaki berkenaan namun dia enggan memberinya menyebabkan suspek merampas tiga telefon bimbit milik mangsa dan menumbuk serta menendang mereka sebelum melarikan diri.



"Ketiga-tiga mangsa yang merasakan tidak selamat berada di situ kemudian bertindak untuk keluar dari bilik sebelum mendapati kira-kira 10 lelaki sedang menunggu mereka di luar hotel dan terus memukul kesemua mangsa," katanya di sini, hari ini.

Noor Asyikin berkata, mangsa berjaya melepaskan diri dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda milik syarikatnya sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.

Susulan kejadian itu, katanya, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 30 tahun yang beralamat di Bandar Permaisuri, Terengganu, Sabtu lalu dan kini giat memburu kesemua rakannya yang terbabit di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan. - Bernama

Polis tahan lelaki, rampas dadah lebih RM200,000

IPOH: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kegiatan mengedar dadah dan merampas enam bungkus dadah seberat 2.7 kilogram bernilai lebih RM200,000 di Parit Buntar semalam.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof, berkata bertindak daripada maklumat orang awam, lelaki berusia 43 tahun yang berasal dari Pulau Pinang itu ditahan ketika sedang memandu sebuah kereta jenis Toyota Vios di Jalan Simpang Empat, Parit Buntar pada jam 2.15 petang.

"Hasil pemeriksaan polis menemui enam paket plastik lutsinar berisi bahan serbuk keperangan, dipercayai dadah jenis heroin dalam kereta yang dipandu suspek," katanya pada sidang akhbarnya di sini hari ini.



Zakaria berkata, lelaki berkenaan ditahan reman seminggu bermula hari ini dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati mandatori.

Siasatan juga mendapati suspek mempunyai satu rekod kesalahan lalu iaitu dibawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Api Berbahaya.

Katanya, adalah dipercayai dadah berkenaan untuk dipasarkan di daerah Kerian.

Beliau percaya dengan tangkapan ini polis dapat melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah heroin di kawasan Parit Buntar. - Bernama

Rahsia 10 tahun: OKU ditahan edar dadah

18/01/2010 2:12pm



ASSIM HASSAN

KUALA LUMPUR 18 Jan. – Kegiatan seorang orang kurang upaya (OKU) yang mengedar dadah sejak 10 tahun lalu terbongkar apabila polis menyerbu sebuah rumah di flat Bandar Tun Razak di sini semalam.

Terdahulu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras menahan seorang lelaki yang bertindak sebagai orang tengah di hadapan flat berkenaan kira-kira pukul 6 petang - Utusan

Warga emas cedera kena samun (18/1/10)

Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar
ctfa@bharian.com.my
ALOR SETAR: Seorang warga emas berusia 83 tahun cedera di kedua-dua pergelangan tangannya selepas diserang seorang lelaki yang cuba menyamun gelang tangan emas yang dipakainya di Kampung Siam, Alor Janggus di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, mangsa, Sapura Hussin yang ketika itu sedang menyiram pokok bunga di halaman rumahnya, terkejut melihat dua lelaki yang memakai topeng penutup muka memberhentikan motosikal berdekatan rumahnya.

Difahamkan, seorang daripada lelaki itu yang dipercayai membawa senjata tajam menghampiri warga emas itu dan mengheret mangsa ke bahagian tepi rumah bagi mengelak perbuatannya diketahui penduduk setempat sebelum menyamun mangsa.



Manakala, rakannya hanya menunggu di atas motosikal.

Sapura berkata, akibat kejadian itu, kedua-dua pergelangan tangannya cedera kerana bergelut dengan lelaki terbabit dan penjenayah sempat melarikan gelang emas miliknya yang dianggarkan bernilai RM2,000.

“Saya tidak berupaya melawan lelaki berkenaan dan hanya meronta-ronta minta dilepaskan, sebelum membiarkan lelaki terbabit mengambil gelang tangan emas yang dipakai.

“Ketika bergelut untuk melepaskan diri, saya merayu kepada lelaki itu supaya jangan mencederakan saya,” katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Siam, di sini, semalam.

Sapura berkata, ketika kejadian, anaknya Siti Mariam Mustafa, 68, dan anak angkatnya Abdul Rahman Awang, 69, keluar ke kedai berhampiran rumah mereka untuk membeli barangan keperluan harian.

Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kota Star, Deputi Superintendan Mohd Fiesal Libertus Abdullah mengesahkan kes berkenaan.

Beliau berkata, polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi balai polis terdekat bagi membantu siasatan.

Jenayah: P. Pinang tubuh pasukan khas

BUKIT MERTAJAM 17 Jan 2010 - Polis negeri menubuhkan satu pasukan khas bagi menangani jenayah kekerasan khususnya yang melibatkan penggunaan senjata api termasuk bom tangan di negeri ini.

Meskipun masih baru, pasukan itu telah berjaya menumpaskan sebuah kumpulan amat dikehendaki selepas menembak mati ketuanya yang terlibat dalam 16 siri jenayah kekerasan di Taman Permata dekat sini Rabu lalu.

Pasukan tersebut juga turut berjaya menembak mati dua lagi penjenayah yang menggunakan bom tangan untuk menakutkan mangsa.

Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, pihaknya bimbang dengan kecenderungan penjenayah menggunakan senjata api sehingga menimbulkan ketakutan di kalangan masyarakat.

"Jadi saya bertanggungjawab untuk menangani masalah tersebut sekali gus memastikan keselamatan penduduk di Pulau Pinang terjamin.

"Ada penjenayah semakin berani mengugut untuk menembak anggota polis yang ingin memberkas mereka," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Bengkel Pencegahan Jenayah Polis Diraja Malaysia Bersama Masyarakat Seberang Perai Tengah (SPT) di sini hari ini.

Gadis terselamat dalam kejadian pecah rumah, samun

PEKAN 17 Jan 2010 - "Kalau hendak selamat, duduk diam-diam dalam bilik, kalau kamu keluar bilik ini, kamu mati".

Itulah kata-kata yang masih terngiang-ngiang di telinga seorang gadis selepas seorang penyamun mengacu pisau kepadanya dalam satu kejadian samun di Kampung Kelat Rendang di sini semalam.

Tindakan mangsa ternyata berjaya menyelamatkan nyawanya dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi tersebut.

Ketika kejadian, Farah Elyani Mohamed, 19, tinggal berseorangan dan tidak menyedari kehadiran tiga penyamun yang memasuki rumahnya dengan mengumpil tingkap bilik di bahagian hadapan.

Menurutnya, semasa kejadian, ibu dan bapanya keluar bekerja manakala adik perempuannya pula tinggal di asrama.

"Masa itu, saya sedang berbaring di atas katil sambil mendengar lagu di telefon bimbit. Tiba-tiba seorang lelaki memecah masuk bilik lalu mengacu pisau serta meminta saya duduk diam.

"Dalam keadaan panik saya hanya berdoa agar tidak diapa-apakan walaupun pada saat itu hanya terfikir mati sahaja," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Menurutnya, selepas lima minit berkurung, suspek kembali masuk ke dalam biliknya dan meminta barang kemas jika dia memakainya.

"Mereka terus menggeledah laci di dalam bilik sebelum mengambil dompet saya.

"Dua penyamun itu kemudian melarikan diri melalui pintu dapur dan saya terus menghubungi ibu yang sedang bekerja mengunakan telefon bimbit yang disorokkan di bawah selimut," katanya.

Ujarnya, dia bersyukur kerana tidak dicederakan oleh suspek dan kejadian itu menyebabkan dia trauma serta takut untuk tinggal bersendirian di rumah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pekan, Supritendan Yahaya Othman ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian tersebut.

Katanya, pihak polis kini sedang giat memburu tiga suspek tersebut.

"Hasil siasatan awal, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM10,000 yang melibatkan kehilangan barang kemas," katanya.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, Samun Berkumpulan Bersenjata jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Dua lelaki ditahan kerana pecah rumah

KOTA KINABALU 17 Jan 2010 - Polis menahan dua lelaki yang terlibat dalam kes pecah rumah seorang ahli perniagaan di Taman Kemajuan Likas di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria berkata, kedua-dua suspek ialah warga tempatan dan berumur 19 tahun dan 24 tahun.

"Polis menahan mereka di kawasan berhampiran taman itu dan merampas tiga buah telefon bimbit yang dicuri tetapi wang tunai yang dilarikan sudah habis dibelanjakan.

"Wang tunai sebanyak RM2,850 itu dipercayai habis membeli dadah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di sini hari ini.

Pada 9 Januari lalu, dua lelaki memecah masuk rumah ahli perniagaan berumur 30-an itu dan melarikan tiga telefon bimbit dan wang tunai.

Ahmad Sofi berkata, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 14 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Dalam kes berasingan pada awal minggu lalu, katanya, tiga lelaki tempatan ditahan kerana dipercayai terlibat merompak seorang ahli perniagaan yang berasal dari Tawau.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa sedang berjalan-jalan sekitar kawasan Kampung Air di sini pada pukul 5.34 petang apabila tiba-tiba dihampiri sekumpulan lelaki.

Kumpulan lelaki terbabit, katanya, berpura-pura ingin berbual, tetapi kemudian menarik mangsa ke tempat sunyi dan mengugutnya.

"Semua suspek kemudian memaksa mangsa memberikan wang tunai dan telefon bimbitnya sebelum melarikan diri," katanya.

Bagaimanapun, katanya lagi, selepas sejam mangsa membuat laporan polis, tiga lelaki yang berusia antara 24 hingga 36 tahun ditahan tidak jauh dari lokasi kejadian.

Kata Ahmad Sofi, pihak polis berjaya merampas semula dompet dan telefon bimbit milik mangsa termasuk kunci hotel yang disimpan dalam dompet tersebut.

Polis rampas pil kuda, daun ketum

BESUT 17 Jan 2010 - Pil kuda seberat 32 gram bernilai RM7,375 bersama wang tunai RM150 dan seguni daun ketum seberat 4.2 kilogram berjaya dirampas dalam dua serbuan oleh pasukan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut.

Dalam serbuan pertama ke atas sebuah rumah di Kampung Penaga, dekat sini, kira-kira pukul 3.15 pagi semalam, dadah bersama wang tunai itu ditemui sewaktu polis menahan seorang penanam padi berumur 22 tahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Supritenden Noor Zainy Mohd Noor berkata, bertindak berdasarkan maklumat orang ramai, pasukan yang diketuai oleh Inspektor Rumaizur Rahman Ab Sattar itu mengepung dan menyerbu rumah berkenaan.

Katanya, hasil serbuan dan setelah diperiksa, polis berjaya menemui pil-pil kuda yang siap dibungkus untuk dijual disimpan dalam sebuah beg kecil dalam bilik rumah lelaki tersebut.

Dalam serbuan kedua di Kampung Keluang pula, seorang suri rumah yang sebelum ini pernah ditahan kerana memproses dan menjual air daun ketum sekali lagi ditahan bersama seguni daun ketum.

Bercakap pada sidang media di IPD Besut di sini hari ini, Noor Zainy berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 6.20 petang kelmarin pihaknya berjaya menemui seguni daun ketum yang belum diproses di bahagian tepi kediaman suri rumah tersebut.

Dalam kes pertama penanam padi itu ditahan di bawah Seksyen 39(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara seumur hidup dan sebatan.

Suspek dalam kes kedua pula ditahan bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang jika sabit kesalahan akan didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun.

Tambahnya, kedua-dua suspek masing-masing kini ditahan reman selama 7 dan 3 hari bermula semalam.

Penjenayah samun kereta mewah mati ditembak

SUBANG JAYA 17 Jan 2010 - Seorang penjenayah yang dikehendaki untuk menghadiri sebutan kes samun kereta mewah ditembak mati dalam satu kejadian berbalas tembakan di Jalan Industri, USJ 1/10, di sini hari ini.

Suspek, Ng Meng Kee, 34, pernah ditahan atas dakwaan menyamun kereta mewah di Pandamaran, Klang, pada 13 November lalu sebelum dibebaskan atas jaminan polis.

Pertuduhan ke atas suspek telah dibuat pada Disember lalu sebelum sebutan semula kes terbabit pada 25 Januari ini.

Kejadian berlaku pada pukul 4 petang ketika suspek yang menaiki kereta Mercedes-Benz dengan nombor pendaftaran palsu berjaya dikesan di kawasan perindustrian terbabit.

Sebelum itu, suspek dikesan di kompleks beli-belah Berjaya Times Square dengan kereta terbabit namun berjaya meloloskan diri semasa cuba ditahan polis.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mamah berkata, sebaik sahaja menyedari kehadiran polis, suspek lalu bertindak merempuh pagar sebuah bangunan sebelum terbabas.

"Suspek keluar dari kenderaan itu lalu melepaskan satu das tembakan ke arah polis. Polis telah melepaskan tembakan dan mengenai kepala suspek," katanya yang ditemui di lokasi kejadian.

Omar memberitahu, polis menemui sepucuk revolver bersama suspek dan sekeping nombor pendaftaran dalam kenderaan itu.

"Berdasarkan nombor plat tersebut, BGU 88, ia merupakan milik kereta Mercedes-Benz yang dilaporkan hilang oleh menantu kepada pemilik kedai barangan kemas, Tomei, pada 10 Januari lalu.

"Polis percaya lebih 10 kes berhubung samun kereta mewah di sekitar Lembah Klang sejak tahun lalu telah selesai.

"Suspek dipercayai melakukan kegiatan tersebut bersama lebih tiga penjenayah lain," katanya.

Beliau berkata, modus operandi kumpulan penjenayah itu adalah mensasarkan mana-mana kediaman yang terdapat kereta mewah sebelum memecah masuk.

"Suspek kemudian akan mengacukan parang ke arah mangsa dan melarikan kereta mewah dan barang berharga," katanya.

Menurut Omar, pihak polis masih memburu saki baki kumpulan penjenayah itu.

Geng Joey terbabit 39 kes samun di Gombak tumpas

KUALA LUMPUR 17 Jan 2010 - Kelicikan empat ahli geng 'Joey' yang terlibat dalam kira-kira 39 kes samun di sekitar Gombak berakhir apabila mereka ditahan di Sungai Buloh dekat sini semalam.

Keempat-empat lelaki itu ditahan sepasukan anggota polis di sebuah tapak projek pembinaan kilang di Sungai Buloh dekat sini kira-kira pukul 10.30 malam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, suspek berusia lingkungan 28 dan 29 tahun itu dipercayai menjadikan tapak projek tersebut sebagai tempat menyimpan senjata yang digunakan untuk menyamun.

"Hasil pemeriksaan di tapak projek itu, salah seorang daripada suspek telah menunjukkan sebuah setor yang menyimpan senjata seperti pisau pemotong daging, parang, gunting besar.

"Selain itu kita turut merampas lima buah motosikal pelbagai jenis yang dipercayai dicuri dan disembunyikan di situ," katanya di sini hari ini.

Beliau menambah, ketika siasatan dijalankan keempat-empat suspek turut mengaku terlibat dengan kira-kira 39 kes samun di sekitar Gombak.

Menurutnya, kumpulan berkenaan aktif menjalankan kegiatan samun kedai bunga, kilang alat ganti kenderaan dan kedai runcit.

"Suspek-suspek turut menjadikan orang awam yang berseorangan di kawasan kilang dan hadapan rumah sebagai mangsa samun, " katanya.

Tambahnya, kesemua suspek yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Saturday, January 16, 2010

Perompak tebuk dinding larikan barang kemas lebih RM400,000

17/01/2010 2:49pm


IPOH 17 Jan — Dua tahun selepas dirompak, sebuah kedai emas di Gunung Rapat di sini sekali lagi mengalami kerugian lebih RM400,000 apabila ia dipecah masuk awal pagi ini.

Kejadian itu disedari oleh pengurus kedai emas itu Roslan Zakaria, 52, semasa beliau membuka kedainya pada kira-kira 8.30 pagi tadi.

Roslan berkata semasa beliau hendak membuka kedainya pagi ini, pemilik kedai sebelah memberitahu bahawa ada lubang yang dikesan ditebuk pada dinding kedai mereka.

"Ketika memasuki kedai itu saya terkejut apabila mendapati satu lubang besar di dinding. Selepas memeriksa kedai, saya dapati beberapa dulang berisi barang kemas hilang,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata pada awal pagi tadi alat penggera telefon bimbitnya yang disambung kepada sistem keselamatan kedai telah berbunyi tetapi beliau tidak mengendahkannya kerana pernah berbunyi sebelum ini tetapi apabila diperiksa tiada berlaku sebarang kejadian tidak diingini. — Bernama

Buruh binaan ditemui mati perut terburai, dikelar (17/1/10)

PUCHONG: Seorang lelaki warga Indonesia dipercayai buruh binaan ditemui mati dalam keadaan ngeri dengan perut terburai dan leher dikelar dalam kejadian di kawasan perumahan Skyville yang sedang dalam pembinaan di Jalan Kasawari, di sini, malam kelmarin.

Mayat mangsa berusia lingkungan 30-an dijumpai dalam keadaan terlentang kira-kira jam 11 malam di luar sebuah rumah oleh pengawal keselamatan yang membuat rondaan di kawasan perumahan terbabit.

Timbalan Ketua Polis Subang Jaya, Superintendan Abdul Aziz Abdul Majid, berkata mangsa yang berpakaian lengkap dan dipercayai bekerja di tapak projek itu dikelar dengan objek tajam di leher dan perutnya sehingga terburai.



“Siasatan awal tidak menemui kesan pergelutan di tempat mayat ditemui. Polis juga tidak menjumpai dokumen pengenalan diri mangsa dan senjata di sekitar lokasi kejadian, kecuali jam tangan dan telefon bimbit dipercayai milik lelaki itu," katanya di sini semalam.

Aziz berkata, polis masih menyiasat punca pembunuhan itu tetapi menolak kaitannya dengan jenayah samun. Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pihak polis.

Polis cekup Geng Dawai (17/1/10)

Oleh Irwan Shafrizan Ismail
bminggu@bharian.com.my

AHMAD Johari (kiri) menunjukkan sebahagian daripada kabel telefon yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran, semalam.


Empat penagih dadah dipercayai curi kabel telefon sejak 2 tahun lalu

MARAN: Empat penagih dadah dipercayai anggota Geng Dawai dan Geng Ipin yang aktif mencuri kabel telefon sejak dua tahun lalu di sekitar Felda Jengka, di sini sehingga mengakibatkan kerugian kira-kira RM100,000 berjaya ditahan dalam dua serbuan berasingan.

Susulan penahanan mereka, polis turut memberkas dua pemilik premis barangan lusuh di Bandar Jengka yang dipercayai membeli kabel terbabit daripada geng berkenaan.



Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin, berkata dalam serbuan pertama kira-kira jam 8.30 pagi 12 Januari lalu, polis berjaya menahan tiga lelaki disyaki anggota Geng Dawai di sebuah rumah di Felda Jengka 12.

Beliau berkata, suspek yang masing-masing berusia 23, 31 dan 37 tahun itu adalah penagih dadah dari Felda terbabit.

"Polis mengepung rumah mereka seawal jam 6 pagi sebelum berjaya menahan suspek dan merampas kira-kira 100 meter kabel telefon belum diproses dianggarkan bernilai RM520.

"Siasatan lanjut mendapati suspek terbabit dalam lapan kes curi kabel antara 25 Januari 2008 hingga 10 Januari lalu membabitkan kerugian berjumlah RM40,100. Mereka aktif mencuri kabel di sekitar Felda Jengka 11, 12, 13, 14, 15 dan 23," katanya di sini semalam.

Ahmad Johari berkata, satu lagi serbuan dilakukan di sebuah rumah di Felda Jengka 21, kira-kira jam 2.30 pagi Khamis lalu sebelum polis menahan seorang lelaki berusia 31 tahun dipercayai anggota Geng Ipin.

"Polis merampas sejumlah wayar tembaga yang sudah dibakar dari suspek. Siasatan mendapati lelaki ini bersama dua lagi rakannya yang masih bersembunyi terbabit sembilan kes curi kabel di sekitar Jengka 18, 21 dan 23 antara 11 Januari 2008 hingga 18 Disember lalu membabitkan kerugian RM61,800," katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Katanya, polis kemudian menahan dua lelaki yang juga pemilik premis barang lusuh tanpa lesen berusia 24 dan 32 tahun dari Matau, Bandar Jengka antara jam 9.40 pagi hingga 10.20 pagi kelmarin yang disyaki membeli kabel telefon curi dari dua geng berkenaan.

353 anggota Rela bantu pantau zon panas

KUALA LUMPUR: Seramai 353 anggota Rela wilayah Persekutuan yang diserapkan sebagai anggota Polis Sukarelawan (PVR) sudah bersedia bertugas di lokasi panas sekitar ibu negara untuk mengurangkan kadar jenayah jalanan.

Pengarah Rela Wilayah Persekutuan, Mohd Aminuddin Mohd Yusof, berkata mereka diberi penerangan dan latihan mencukupi bagi menjalankan tugasan membantu polis mencegah jenayah.

"Daripada 353 anggota itu, 203 sudah menamatkan latihan manakala 150 masih mengikuti kursus. Kita harap mereka dapat membantu polis membanteras jenayah dengan lebih berkesan. Mereka hanya ditempatkan di kawasan panas dengan kadar jenayah tinggi seperti Bukit Bintang," katanya di sini semalam.



Akhbar sebelum ini melaporkan kumpulan pertama 1,042 anggota Rela yang diserapkan sebagai anggota PVR akan ditempatkan di 50 lokasi panas di Johor, Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur, mulai esok.

Mohd Aminuddin berkata, sesuai dengan hasrat Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mahu menyerap lebih ramai anggota Rela ke dalam PVR, pihaknya juga giat menjalankan pelbagai kempen menarik lebih ramai rakyat, terutama golongan muda menganggotai pasukan itu.

"Bagi menjadikan program banteras jenayah lebih berkesan, jumlah anggota Rela yang menyertai operasi membanteras pendatang asing tanpa izin akan dikurangkan," katanya.

Sementara itu, anggota Rela, Jimmy Ho, 42, yang sudah 10 tahun berkhidmat dalam pasukan sukarelawan itu, berkata minatnya membantu masyarakat selain mencari pengalaman terutama membantu pihak berkuasa membanteras jenayah mendorongnya menyertai Rela.

"Saya berkhidmat dengan Rela separuh masa kerana bekerja di syarikat produksi video. Minat yang mendalam dalam aktiviti sukarelawan ini menjadikan saya lebih bijak membahagikan masa untuk menyertai apa juga operasi Rela," katanya.

Pengurus bank maut ditetak (17/1/10)

SUBANG JAYA: Seorang pengurus cawangan Maybank yang baru pulang menikmati makan malam bersama isterinya di pusat beli-belah Sunway Pyramid, di sini, maut selepas ditikam dan ditetak seorang lelaki tidak dikenali dalam kejadian di sebuah pangsapuri dekat Bandar Sunway, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai Andy Teoh, 48, ditikam pada belakang badannya sebelum suspek berusia 30an menetak bahagian mangsa menggunakan senjata tajam dipercayai celoret.

Mangsa yang bertugas di Damansara, diserang ketika bersama isterinya yang berusia 38 tahun sedang menunggu lif di tingkat bawah tempat letak kenderaan di Pangsapuri Lagoon Perdana.



Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Asisten Komisioner Omar Mammah, berkata walaupun ditikam dan ditetak, mangsa yang dikejar suspek masih mampu melarikan diri kira-kira 80 meter, manakala isterinya yang tergamam mengekori mereka dari belakang dan meminta tolong.

“Melihat mangsa rebah, suspek melarikan diri dan pada masa sama tidak mencederakan isteri mangsa selain tiada barangan dilarikan. Motif pembunuhan masih dalam siasatan,” katanya kepada media di tempat kejadian, awal pagi semalam.

Omar berkata, sekitar lif serta kawasan letak kenderaan di tingkat bawah pangsapuri berkenaan tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan pihaknya juga sedang menyiasat bagaimana suspek boleh melepasi kawalan keselamatan premis terbabit.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa tidak mengenali suspek kerana ketika menuju ke lif sebaik keluar dari keretanya, mangsa ada melihat suspek tetapi tiada sebarang reaksi yang ditunjukkan kedua-dua mereka,” katanya.

Sementara itu, seorang rakan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nazaruddin, berkata Teoh berkahwin lima tahun lalu tetapi tidak mempunyai anak dan sepanjang mengenalinya, mangsa seorang yang baik, fasih berbahasa Melayu serta tidak mempunyai musuh atau berdendam dengan sesiapa.

2 suspek kes baling bom mati ditembak (17/1/10)

Oleh Petah Wazzan Iskandar dan Mohamad Danial Mohamad Saad
bminggu@bharian.com.my

ANGGOTA polis membuat kawalan ketat di tempat dua suspek kes baling bom ditembak mati di Nibong Tebal malam tadi.


Penjenayah tak sempat lontar bahan letupan

NIBONG TEBAL: Polis menembak mati dua lelaki dipercayai suspek utama beberapa kejadian letupan bom di sekitar negeri ini di ladang kelapa sawit berhampiran kubur Cina Tasek, Sungai Bakap dekat sini, semalam.

Kedua-dua lelaki terbabit yang berusia 52 tahun dan 30-an, ditembak mati dalam insiden berbalas tembak dan cubaan membaling sebiji bom tangan ke arah polis dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang.



Polis menemui sepucuk pistol dan lima butir bom tangan dalam kereta yang dinaiki suspek, termasuk sebutir bom yang sudah dicabut pin untuk dibaling ke arah polis.

Kira-kira jam 12.05 tengah malam barulah mayat kedua-dua suspek dapat dibawa keluar dari tempat duduk pemandu dan penumpang di bahagian depan, kerana polis khuatir sebutir bom yang sudah dicabut pin itu akan meletup.

Bom tersebut terjatuh ke tempat letak kaki penumpang di bahagian depan kereta itu.

Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob, berkata kedua-dua suspek mati di tempat kejadian tetapi bom yang tercabut pin tidak meletup.

Bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, Unit Pemusnah Bom dipanggil bagi meletupkan bom tangan itu.

“Berdasarkan pengecaman ke atas kedua-dua lelaki itu, mereka adalah suspek utama yang diburu berkaitan kes baling bom di Bukit Mertajam, baru-baru ini,” katanya kepada media di tempat kejadian, malam tadi.

Ayub berkata, sebelum kejadian itu, satu pasukan khas polis negeri yang dibantu anggota dari Bukit Aman mengesan suspek menaiki kereta jenis Nissan Sentra di Jalan Tasek, Sungai Bakap.

Polis mengekori kereta berkenaan sebelum disedari oleh suspek yang kemudiannya bertindak melepaskan tembakan ke arah polis.

Suspek kemudian memecut kenderaan ke arah ladang kelapa sawit sebelum melanggar pokok kelapa sawit.

“Seorang suspek kemudian cuba membaling sebutir bom tangan ke arah anggota polis setelah mencabut pin tetapi gagal kerana terkena tembakan,” katanya.

Ayub berkata, siasatan awal polis mendapati kedua-dua suspek berasal dari Perak tetapi melakukan jenayah di Pulau Pinang dengan memandu kereta yang menggunakan nombor pendaftaran palsu milik seorang lelaki di Perak. Suspek juga mempunyai beberapa rekod jenayah membabitkan dadah, ugut dan perjudian.

“Polis ada menerima satu laporan daripada seorang mangsa yang mendakwa diugut oleh suspek melibatkan penggunaan bom,” katanya.

Rabu lalu, sebutir bom tangan meletup di pintu pagar rumah pemilik kilang besi di Taman Perkasa, Permatang Tengah, Bukit Mertajam, dipercayai bermotif ugutan.

Bom tangan itu terkena pagar besi dan meletup sehingga menyebabkan cermin belakang Perodua Myvi dan tingkap rumah dua tingkat pecah.

Ninja banteras jenayah jalanan (17/1/10)

Oleh Md Nazri Jefri
bminggu@bharian.com.my

PASUKAN Ninja dari Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan bersiap sedia dengan motosikal untuk menjalankan tugas.


Skuad polis motosikal lasak ronda kawasan panas Johor Bahru Selatan

JOHOR BAHRU: Keselamatan orang ramai di sekitar Johor Bahru Selatan kini lebih terjamin sejak penubuhan 'Pasukan Ninja' oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, pada Ogos tahun lalu yang bertujuan membanteras pelbagai jenayah jalanan termasuk ragut dan seluk saku.

Pasukan 16 anggota itu dibahagikan kepada dua kumpulan yang mana setiap satunya menggunakan lima motosikal dan sebuah kereta peronda bagi membuat pemantauan dan rondaan di sekitar bandaraya Johor Bahru, Taman Pelangi, Permas dan Larkin yang disifatkan sebagai kawasan panas atau 'hot spot.'



Ketua Unit pasukan itu, Cif Inspektor Mohd Saufi Mohd Kassim, berkata kedua-dua pasukan itu diketuai seorang pegawai berpangkat Cif Inspektor dan seorang sarjan serta dibantu anggota daripada lain-lain pangkat.

"Waktu bertugas anggota pasukan ini ialah dari jam 8 pagi hingga 8 pagi keesokannya. Anggotanya juga diberikan kelepasan bertugas selama 24 jam bagi setiap pasukan.

"Selepas empat bulan sejak penubuhannya memang ada penurunan kegiatan jenayah jalanan dicatatkan. Pada masa sekarang, pasukan ini bertugas di kawasan yang dianggap sebagai 'hot spot' di Johor Bahru Selatan.

"Insya-Allah jika kita dapati pasukan ini berjaya dalam misinya menurunkan kadar jenayah, PDRM mungkin akan memperluaskannya ke daerah lain di negeri ini," katanya.

Apa yang menarik, satu-satunya anggota wanita yang berkhidmat dalam pasukan itu ialah Lans Koperal Faizzatul Azma Ismail, 29, yang berazam untuk membuktikan wanita juga boleh menjalankan tugas lasak seperti anggota lelaki termasuk memerangi jenayah jalanan itu.

Mohd Saufi berkata, bagi memastikan anggota pasukan sentiasa cergas, mereka perlu menjalani latihan bagi meningkatkan kemahiran masing-masing serta sentiasa bersedia melakukan tugas pada bila-bila masa diperlukan.

"Antara usaha dilakukan termasuk menjalani latihan di Hutan Simpan Kota Tinggi dan melalui jalan ke Lukut, Semanggar yang mempunyai jalan tanah merah. Ini semua bagi menguji ketahanan fizikal dan mental anggotanya," katanya.

Mohd Saufi berkata, selain memenuhi kewajipan tugas dan berkhidmat kepada masyarakat, pasukan itu juga bertujuan membantu kerajaan memerangi kegiatan jenayah jalanan yang semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini.

"Lebih-lebih lagi selepas di bawah pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi menurunkan kadar jenayah jalanan sebanyak 20 peratus menjelang penghujung 2010," katanya.

Kontraktor mati selepas ditikam tujuh kali

JEMPOL 16 Jan 2010 - Seorang kontraktor mati selepas ditikam bertubi-tubi oleh tiga lelaki ketika sedang makan di sebuah medan selera di Jalan Rompin-Bahau, dekat sini awal pagi tadi.

Mangsa, Abd. Murad Md. Yusuf, 41, meninggal dunia sebaik sahaja tiba di Hospital Seri Jempol, di sini akibat cedera parah di perut dan dada akibat ditikam dengan senjata tajam dipercayai pisau.

Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh berkata, kejadian pada pukul 2 pagi itu dikatakan berpunca selepas berlaku pertengkaran antara mereka.

Katanya, mangsa dari Kampung Sepri Tengah, Kuala Klawang, Jelebu, kemudian ditikam tujuh kali.

"Polis mencari tiga suspek yang dipercayai telah melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Honda berwarna putih," katanya dalam satu sidang akhbar di Seremban, hari ini.

Menurut Osman, polis menyiasat motif serangan tiga suspek berkenaan dan tujuan mangsa berada di kawasan itu.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban untuk dibedah siasat dan telah dituntut oleh keluarganya lewat petang ini.

"Orang ramai yang melihat kejadian itu diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan dan mengenal pasti tiga penyerang berkenaan," katanya.

Sementara itu, di bilik mayat HTJ di Seremban, abang mangsa, Abd. Babji Md. Yusuf yang berusia lewat 40-an memberitahu, adiknya tersebut sudah berkahwin dan mempunyai dua anak.

"Arwah tidak mempunyai musuh dan rapat dengan semua saudara dan ahli keluarga. Saya tidak tahu mengapa adik saya dibunuh dengan kejam.

"Dia seorang yang baik dan jarang sekali memarahi orang lain," katanya.

Beliau berharap agar penyerang adiknya itu segera ditahan pihak berkuasa dan dihadapkan ke muka pengadilan.